Kelayakan Cuti Penjawat Awam

Kemudahan cuti adalah antara perkara yg paling membuatkan pekerja sektor swasta ‘cemburu’ kepada kakitangan awam. Di dalam perkhidmatan awam, terdapat banyak cuti yg boleh dipohon. Antaranya, cuti atas sebab perkhidmatan, cuti atas sebab perubatan dan cuti tanpa rekod. Bab cuti ni memang agak mengelirukan sedikit walaupun kepada kakitangan awam sendiri, kerana banyak pekeliling yg terlibat. Buku Perintah Am Bab C yang tebal tu pun dah boleh buat orang pening. Atok ringkaskan di sini kelayakan cuti penjawat awam setakat yang termampu, kalau ada tersilap mohon betulkan di ruangan komen.

Kelayakan Cuti Penjawat Awam

Definisi Cuti

“Cuti” adalah sebarang tempoh kakitangan awam itu dibenarkan meninggalkan tugasnya dan peninggalan tugas itu tidak dikira sebagai putus perkhidmatan atau sebagai berhenti kerja. Cuti tidak diberikan secara automatik dan memerlukan kelulusan daripada Ketua Jabatan atau Kuasa Tertentu terlebih dahulu. Cuti merupakan satu keistimewaan dan boleh ditarik balik (jika perlu) serta diberi atas tujuan dan syarat-syarat yang tertentu. Kemudahan cuti yang diberikan adalah berdasarkan Perintah Am Bab C serta peraturan-peraturan yang berkuatkuasa dari semasa ke semasa.

(A) CUTI YANG DIBERI KERANA PERKHIDMATAN

  1. Cuti rehat
  2. Cuti separuh gaji
  3. Cuti tanpa gaji

Kelayakan cuti rehat penjawat awam

Cuti yg paling lazim diambil oleh kebanyakan penjawat awam ialah Cuti Rehat. Cuti ini boleh dipohon pada bila-bila masa sepanjang tahun. Tetapi dengan beberapa syarat;

Pertama, permohonan cuti hendaklah diluluskan oleh boss, dan kedua, baki cuti rehat masih ada.

Untuk lantikan tetap, jadual kelayakan cuti rehat penjawat awam mengikut gred adalah seperti jadual berikut:

GREDBAWAH 10 TAHUNGENAP DAN LEBIH 10 TAHUN
Pengurusan Tertinggi30 (Hari)35 (Hari)
Gred 31 – 5430 (Hari)35 (Hari)
Gred 21 – 3025 (Hari)30 (Hari)
Gred 1 – 2020 (Hari)25 (Hari)

Untuk lantikan kontrak dan sementara, jadual kelayakan cuti rehat penjawat awam mengikut gred adalah seperti jadual berikut:

GREDKELAYAKAN CUTI REHAT
Pengurusan Tertinggi25 (Hari)
Gred 31 – 5425 (Hari)
Gred 21 – 3020 (Hari)
Gred 1 – 2020 (Hari)

Nota: Jadual Cuti Rehat di atas merujuk kepada penjawat awam lain KECUALI Guru. Cuti rehat guru tidak sebanyak itu (kerana adanya cuti penggal). Untuk warga guru, ia dipanggil Cuti Rehat Khas atau CRK dan hanya berjumlah sebanyak 10 hari sahaja dalam setahun. Kecuali Guru Besar atau Pengetua dan kakitangan bukan mengajar seperti Kerani, Penyelia Asrama dll (mereka mendapat cuti seperti jumlah dalam jadual di atas).

Kelayakan Cuti Separuh Gaji penjawat Awam

Kemudahan Cuti Separuh Gaji diberikan atas sebab-sebab kesihatan ahli keluarga atau sanak saudara yang meliputi keluarga kakitangan awam (isteri/suami dan anak-anak), ibu bapa, adik-beradik, ibu bapa mertua, nenek dan datuk kakitangan awam tersebut.

Kadar Cuti Separuh Gaji adalah maksimum 180 hari sepanjang perkhidmatan. Kakitangan awam yang memohon Cuti Separuh Gaji perlu mempunyai perkhidmatan yang melayakkan, iaitu satu tahun perkhidmatan melayakkan 30 hari tempoh Cuti Separuh Gaji.

Ketua Jabatan boleh meluluskan Cuti Separuh Gaji untuk 14 hari pertama dalam satu tahun kalendar dan selebihnya diluluskan oleh Ketua Setiausaha berdasarkan perwakilan kuasa yang diberikan kepadanya melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 1985 atau pindaannya.

Kelayakan Cuti Tanpa Gaji penjawat Awam

Kemudahan Cuti Tanpa Gaji diberikan atas sebab-sebab persendirian yang mustahak dan tertakluk kepada kadar maksimum 360 hari sepanjang perkhidmatan. Kakitangan awam yang memohon Cuti Tanpa Gaji perlu mempunyai perkhidmatan yang melayakkan, iaitu satu tahun perkhidmatan melayakkan 30 hari tempoh Cuti Tanpa Gaji.

Kakitangan awam yang ingin menggunakan kemudahan ini perlu mempunyai sekurang-kurangnya enam (6) bulan perkhidmatan dan telah menghabiskan semua Cuti Rehat yang ia berkelayakan.

(B) CUTI ATAS SEBAB PERUBATAN

  1. Cuti sakit
  2. Cuti sakit lanjutan
  3. Cuti kuarantin
  4. Cuti bersalin
  5. Cuti kecederaan
  6. Cuti tibi, kusta dan barah

Kelayakan Cuti Sakit penjawat Awam

Diberikan kepada kakitangan awam yang telah disahkan tidak sihat untuk bertugas oleh Pegawai Perubatan atau oleh sebuah Lembaga Perubatan atau oleh seorang ahli Panel Doktor. Pengesahan tidak sihat hendaklah dibuktikan dengan sijil sakit. Kakitangan awam perlu mengemukakan sijil sakit kepada Ketua Jabatan/Ketua Setiausaha bagi membolehkan cuti sakit diluluskan.

Jumlah cuti sakit sama ada berasaskan sijil sakit swasta atau sijil sakit kerajaan yang boleh diberikan adalah tidak melebihi 180 hari dalam sesuatu tahun kalendar, di mana 90 hari pertama boleh diluluskan oleh Ketua Jabatan dan 90 hari seterusnya hendaklah diluluskan oleh Ketua Setiausaha. Termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am. Semua Cuti Sakit dihabiskan di hospital atau di rumah melainkan jikalau ditetapkan oleh seorang pegawai perubatan sebaliknya. Cuti sakit ini adalah bergaji penuh.

Kelayakan Cuti Sakit Lanjutan penjawat Awam

Selepas Cuti Sakit bergaji penuh selama 180 hari di atas dan juga cuti rehat yang berkelayakan ketika itu telah digunakan, kakitangan awam yang masih tidak sihat untuk bertugas semula boleh diberi Cuti Sakit Lanjutan secara separuh gaji sehingga 90 hari dengan perakuan Lembaga Perubatan.

Jika selepas menghabiskan Cuti Sakit Lanjutan secara separuh gaji kakitangan awam itu masih tidak sihat, dan diperakukan oleh Lembaga Perubatan sebagai ada harapan untuk sembuh, maka kakitangan awam masih boleh diberi Cuti Sakit Lanjutan secara tanpa gaji tidak melebihi 90 hari dengan diberi Elaun Bantuan bersamaan separuh gaji.

Kemudahan Cuti Sakit Lanjutan ini diberi dalam satu tahun kalendar dan kemudahan Cuti Sakit Lanjutan ini boleh diulangi dalam tahun kedua. Selepas tempoh tersebut jika kakitangan awam berkenaan masih belum sembuh, beliau boleh dibersarakan dengan perakuan Lembaga Perubatan.

Kelayakan Cuti Kuarantin penjawat Awam

Kemudahan Cuti Kuarantin telah diperuntukkan di bawah Perintah Am Bab C (Cuti) kepada kakitangan awam yang dalam perjalanan balik ke Malaysia dari luar negara yang ditahan di mana-mana stesen kuarantin oleh pihak berkuasa kesihatan pelabuhan atau lapangan terbang kerana berlaku wabak penyakit berjangkit atau kakitangan awam dikurung di rumahnya oleh mana-mana kuasa kesihatan kerana wabak penyakit berjangkit.

Kakitangan awam yang diberi perintah kuarantin adalah layak mendapat cuti bergaji penuh sepanjang tempoh kuarantin. Kakitangan awam juga layak mendapat cuti kuarantin bagi menjaga yang anaknya menghidap penyakit berjangkit dan perlu dikuarantin.

Untuk menjaga anak atau keluarga, tempoh yang boleh diluluskan adalah terhad kepada maksimum lima (5) hari bagi setiap kes atau selama tempoh perakuan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai perubatan Kerajaan atau swasta mengikut mana yang lebih rendah, tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am.

Kelayakan Cuti Bersalin penjawat Awam

Kadar kelayakan Cuti Bersalin bergaji penuh ialah sebanyak 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan seseorang kakitangan awam.

Tempoh maksimum Cuti Bersalin bagi setiap kelahiran adalah 90 hari. Walau bagaimanapun, kakitangan awam diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh Cuti Bersalin antara 60 hari hingga 90 hari bagi setiap kelahiran. Cuti Bersalin bermula pada tarikh kakitangan awam bersalin.

Walau bagaimanapun, kakitangan awam boleh memilih untuk menggunakan Cuti Bersalin lebih awal dari tarikh bersalin iaitu pada bila-bila masa dalam tempoh 14 hari dari tarikh dijangka bersalin.

Kelayakan Cuti Kecederaan penjawat Awam

Diberikan kepada kakitangan awam yang mendapat kecederaan semasa menjalankan tugas rasmi sebagai tambahan setelah menggunakan kelayakan cuti sakit di bawah peruntukan Perintah Am 17 Bab C. Cuti bergaji penuh hingga ke suatu tarikh kakitangan awam tersebut akan pulih atau ke tarikh ia akan dibersarakan dari perkhidmatan setelah cuti sakit habis digunakan.

Kelayakan Cuti Tibi, Kusta Dan Barah penjawat Awam

Diberikan kepada kakitangan awam yang telah disahkan mengidap penyakit Tibi, Kusta dan Barah. Cuti sakit bergaji penuh tidak melebihi 24 bulan bagi pesakit barah dan kusta dan tidak melebihi 12 bulan bagi pesakit tibi dengan tidak mengira sebarang cuti sakit yang telah diambilnya kerana penyakit-penyakit lain.

Cuti ini juga diberi kepada jenis penyakit yang setaraf dengan penyakit tibi, kusta dan barah yang memerlukan tempoh rawatan yang panjang untuk pulih. Jenis penyakit yang dimaksudkan hendaklah diperakukan oleh sebuah Lembaga Perubatan.

Setelah menghabiskan kelayakan Cuti Tibi, Kusta Dan Barah, kakitangan awam boleh mengambil kemudahan Cuti Rehat yang masih berkelayakan. Kemudian, Cuti Separuh Gaji tidak melebihi 12 bulan boleh diberi. Cuti ini hendaklah diluluskan oleh Ketua Setiausaha berdasarkan perwakilan kuasa yang diberikan kepadanya melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 1985 atau pindaannya.

(C) CUTI TIDAK BEREKOD

  1. Cuti gantian
  2. Cuti latihan pasukan sukarela
  3. Cuti menghadiri latihan/khemah tahunan pertubuhan/persatuan atau kursus-kursus tertentu
  4. Cuti menghadiri latihan syarikat kerjasama
  5. Cuti untuk masuk peperiksaan
  6. Cuti menghadiri mesyuarat persatuan ikhtisas
  7. Cuti mengambil bahagian dalam olahraga/sukan
  8. Cuti tugas khas perubatan
  9. Cuti bagi kakitangan awam yang dipilih untuk mengambil bahagian dalam lawatan kebudayaan dan pertandingan bulan bahasa kebangsaan
  10. Cuti menghadiri Mesyuarat Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) dan Majlis Bersama Jabatan (MBJ)
  11. Cuti isteri bersalin
  12. Cuti urusan kematian ahli keluarga terdekat
  13. Cuti bagi kakitangan awam yang dilantik sebagai jurulatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN)
  14. Cuti bagi tujuan menghadiri mahkamah di luar stesen
  15. Kemudahan cuti kursus sambilan kepada kakitangan awam yang mengikuti pengajian secara sambilan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara
  16. Cuti menderma organ

(D) CUTI-CUTI LAIN

  1. Kemudahan cuti menjaga anak (cuti tanpa gaji)
  2. Cuti haji
  3. Cuti kerana berkursus
  4. Cuti tanpa gaji bagi kakitangan awam yang mengikuti pasangan bertugas/ berkursus di dalam atau luar negara
  5. Cuti rehat setelah berkursus 12 bulan
  6. Kebenaran tidak hadir bertugas atas sebab-sebab kecemasan am
  7. Pelepasan waktu bertugas kepada kakitangan awam yang menderma darah

Untuk maklumat yg lebih sahih bagi setiap kelayakan cuti penjawat awam di atas, korang boleh rujuk Pekeliling Kemudahan Cuti ini.

Suka-Suka Cuti

Ada juga kakitangan awam yg suka-suki bercuti tanpa sebab yg munasabah. Harus diingat, jika seorang kakitangan awam tidak hadir betugas tanpa cuti atau sebab yang pada pendapat Ketua Jabatan adalah sebab yang munasabah. Maka kakitangan awam itu tidak berhak mendapat gaji atau lain-lain emolumen bagi tempoh tidak hadir bertugas itu.

Baca juga: Cara Penjagaan Kereta Warna Hitam

Boleh Potong Gaji ker Tok?

Ya, boleh. Suatu perakuan daripada Ketua Jabatan adalah satu kuasa yg mencukupi untuk memotong gaji atau emolumen bagi tempoh tidak hadir bertugas seseorang kakitangan awam.

Jadi, nasihat atok janganlah bercuti sesuka hati. Sila gunakan kemudahan cuti dan kelonggaran yg sudah diberikan oleh kerajaan dengan sebaiknya.

Diharap dengan penjelasan kelayakan cuti penjawat awam ini, bolehlah korang merancang cuti dengan sebaiknya tanpa mencalarkan rekod perkhidmatan awam korang. Moga bermanfaat ya..

FAQ Mengenai Kelayakan Cuti

Berapa lama tempoh untuk Cuti Umrah?

Tertakluk kepada maksimum tujuh (7) hari. Perkiraan tujuh (7) hari bagi maksud ibadah umrah bermula dari tarikh penerbangan sebenar menunaikan ibadah umrah di tanah suci Mekah dan ziarah di Madinah.

Sekiranya tarikh penerbangan bermula pada hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am, maka perkiraan tujuh (7) hari akan bermula pada hari bekerja berikutnya.

Sekiranya korang memerlukan tempoh melebihi tujuh (7) hari atas sebab-sebab tertentu, maka korang boleh memohon untuk menggunakan kemudahan Cuti Rehat, Cuti Rehat Khas atau Cuti Tanpa Gaji atas urusan persendirian, tertakluk pada kelayakan cuti korang.

Kemudahan ini diberikan sekali sahaja (one-off) sepanjang tempoh perkhidmatan.

Isteri saya baru bersalin, bolehkah saya bercuti untuk menjaganya?

Boleh. Kemudahan ini diberi selama tujuh (7) hari sebagai cuti tanpa rekod, kepada korang untuk membantu urusan ketika isteri korang bersalin. Cuti ini hendaklah bermula pada tarikh isteri korang bersalin atau pada hari berikutnya jika isteri korang bersalin selepas waktu pejabat.

Tempoh cuti ini termasuk semua hari rehat dan hari kelepasan am. Kemudahan ini dihadkan kepada lima (5) kali sepanjang tempoh perkhidmatan sahaja. Dan Ketua Jabatan boleh memanggil korang balik bertugas jika keadaan perkhidmatan memerlukan.

Rujukan Lain

Asyik ke ATM bila nak semak baki duit? Baca tutorial mengenai cara daftar Maybank2u online banking dan juga cara tukar password Maybank2u di sini.

Tidak tahu bagaimana cara mengira waktu subur? Jangan bimbang. Di sini atok bincangkan serba sedikit cara kira waktu subur untuk hamil.

Korang berniaga di shopee? Follower masih ciput? Jom baca dua cara naikkan follower di shopee di sini. Ada yg mudah dan ada yang leceh. Pilih-pilih..

Nak tgk di panggung mana tu? GSC, LFS, TGV, MBO atau MMC? Tak kira panggung mana, cara beli tiket wayang online semua panggung tu ada di sini..

Mencari jenama tudung sememangnya penting bagi mereka yang menghasilkan tudung tersendiri dan menjualnya. Baca tips mencari idea jenama tudung ni..

Dalam artikel ini dikongsikan beberapa keperluan untuk memulakan penternakan kambing yg mesti korang tahu sebelum memulakan projek ternakan.

Ada yg sampai bertengkar mempertahankan sebutan masing-masing. Jadi mana satukah sebutan yang betul? Adakah Ikan Talapia atau Ikan Tilapia?

Bagi korang yang berminat menyertai PDRM dan menjadi polis, sila rujuk iklan jawatan kosong Polis Diraja Malaysia 2023 dan cara memohon di sini.

Bagi yang masih belum memahami apa itu i-saraan KWSP dengan lebih jelas, di sini akan diterangkan serba sedikit tentang apa itu i-saraan KWSP..

Atok
Follow me

5 thoughts on “Kelayakan Cuti Penjawat Awam”

  1. Saya seorang pendidik sekolah kerajaan. Soalan saya adakah tertakluk dalam mana-mana pekeliling saya perlu menganti semua jenis cuti yang telah dipohon selepas habis cuti seperti yang diarahkan oleh ketua jabatan ? Sbagai contoh cuti rehat khas, cuti sakit, cuti kuarantin

    Reply
  2. Adakah kakitangan awam boleh mohon cuti rehat pd 2hb Januari (Awal tahun), sedangkan beliau tiada carry forward cuti tahun sebelum ???

    Reply

Leave a Comment

error: Content is protected !!